BELAJAR MEMBACA
Membaca
adalah satu proses pembentukan dan pemberian makna melalui interaksi pembaca
dengan bahan bacaannya. Proses membaca ini sangat berkait rapat dengan proses
penglihatan. Simbol, lambang atau tulisan-tulisan yang dilihat pada satu
permukaan akan ditukarkan menjadi persembahan minda yang bermakna.
Kaedah
merupakan prosedur menyeluruh terhadap sesuatu aktiviti pengajaran dan
pembelajaran bahasa. Kaedah dibentuk berdasarkan pendekatan yang dipilih dan
telah dikenal pasti sesuai dengan tujuan dan objektif sesuatu kemahiran bahasa
yang akan diajarkan. Dalam konteks pengajaran membaca, ada tiga kaedah popular
yang boleh digunakan iaitu kaedah fonetik, kaedah abjad dan kaedah pandang
sebut.
- KAEDAH FONETIK
Kaedah
fonetik merupakan kaedah asas membaca yang menekankan hubungan antara huruf
(simbol) dengan bunyi. Kaedah ini amat sesuai untuk mengajar membaca kepada
kanak-kanak yang baru mengenal huruf. Penggunaan kaedah lain bukan sahaja tidak
sesuai untuk kanak-kanak peringkat ini, malah menyusahkan kerana lambat untuk
menguasainya, mengelirukan dan membebankan memori mereka.
- Konsep Kaedah Fonetik
Membaca
mengikut kaedah fonetik memerlukan seseorang murid itu bersedia lebih awal
seperti mengetahui bunyi-bunyi huruf, boleh menyebutnya dengan baik serta dapat
mengingatinya dalam tempoh yang lama. Seterusnya mereka perlu kenal huruf
berkenaan dari segi bentuk, rupa dan cara menulis huruf tersebut di samping
dapat mengaitkan huruf yang dilihat dengan bunyi yang dilafazkan. Penggunaan
teknik yang betul membolehkan kanak-kanak mengenal bunyi dan mengaitkannya
dengan bentuk huruf yang ditunjukkan kepada mereka dengan cepat dan pantas.
Mereka juga dapat menyebut bunyi ‘aa’ apabila melihat huruf ‘a’ dan bunyi ‘ii’
apabila melihat huruf ‘e’.
Satu lagi teknik mengajar
bunyi yang boleh diperkenalkan guru adalah menggunakan asosiasi, iaitu asosiasi
bunyi dan asosiasi gambar. Contoh asosiasi bunyi, untuk membunyikan ‘aa’, guru
bolehlah mengaitkannya dengan beberapa peristiwa yang berlaku di persekitaran
murid-murid seperti terkena makanan panas, iaitu melalui jeritan ‘aaaaaa
panasnya’. Manakala asosiasi gambar pula, guru bolehlah menggunakan kad imbasan
seperti gambar ayam untuk bunyi ‘aa’, gambar emak untuk bunyi ‘ee’ dan
sebagainya. Melalui teknik asosiasi ini murid-murid dapat mengingat dan
menyebut bunyi dengan lebih berkesan, cepat dan berkekalan.
Guru juga tidak perlu
memperkenalkan semua bunyi sekali gus tetapi memadai dengan beberapa bunyi asas
dahulu. Oleh sebab laras bahasa Melayu terbina daripada gabungan huruf konsonan
dengan huruf vokal, maka wajarlah bunyi-bunyi ‘a’, ‘i’, ‘u’ diperkenalkan
terlebih dahulu. Justeru, guru perlu perkenalkan bunyi-bunyi yang senang
disebut oleh murid-murid terlebih dahulu berbanding bunyi sukar.
- KAEDAH ABJAD
Kaedah
abjad merupakan kaedah asas membaca yang paling tua digunakan oleh manusia
untuk mengajar membaca dalam kalangan kanak-kanak. Pengajaran bacaan dimulai
dengan pengenalan huruf atau abjad yang diikuti dengan membunyikan huruf-huruf
tersebut. Daripada cantuman huruf-huruf, murid-murid akan diperkenalkan pula
dengan bunyi-bunyi atau suku kata yang digabungkan menjadi perkataan.Konsep Kaedah Abjad.
Konsep ini dijalankan dengan memperkenalkan kepada murid-murid 26 huruf, iaitu huruf a hingga z. kemudian diikuti dengan aktiviti memperkenalkan huruf-huruf vocal dan konsonan. Dalam sistem bahasa Melayu huruf-huruf vokal mengeluarkan bunyi setelah bergabung dengan huruf konsonan. Contohnya, ‘ba’, ‘be’, ‘bi’, ‘bo’ dan ‘bu’. Manakala gabungan ‘ai’, ‘au’, dan ‘oi’ pula akan membentuk diftong.
Semua bunyi tersebut disambung supaya menjadi suku kata, misalnya ba + tu = batu. Kemudian mengenal rangkai kata, ayat dan seterusnya diajar membaca. Kemudian diikuti dengan aktiviti mengeja suku kata dalam perkataan. Seterusnya guru mengaitkan gambar dengan sesuatu huruf, ‘a’ untuk ‘ayam’, ‘b’ untuk ‘baju’, dan seterusnya. Guru juga boleh menyanyi lagu ABC.
Kajian mendapati, kegagalan seseorang murid untuk mengenal huruf a hingga z mengikut susunan dalam abjad, akan melahirkan generasi murid yang tidak boleh membaca. Justeru, kaedah abjad menekankan murid untuk menghafal a hingga z sebelum mereka boleh diajar kemahiran membaca.
- KAEDAH PANDANG DAN SEBUT
- Konsep Kaedah Pandang dan Sebut.
Murid hanya
perlu mengecam gambar dan menyebut perkataan berdasarkan gambar berkenaan.
Setelah murid-murid menguasai perkataan, barulah diperkenalkan kumpulan huruf
yang membentuk perkataan berkenaan. Semasa kad tersebut ditunjukkan kepada
murid-murid, mereka akan menyebut perkataan tersebut beberapa kali.