Selasa, 6 Mei 2014

BELAJAR MEMBACA
Membaca adalah satu proses pembentukan dan pemberian makna melalui interaksi pembaca dengan bahan bacaannya. Proses membaca ini sangat berkait rapat dengan proses penglihatan. Simbol, lambang atau tulisan-tulisan yang dilihat pada satu permukaan akan ditukarkan menjadi persembahan minda yang bermakna.
        Kaedah merupakan prosedur menyeluruh terhadap sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kaedah dibentuk berdasarkan pendekatan yang dipilih dan telah dikenal pasti sesuai dengan tujuan dan objektif sesuatu kemahiran bahasa yang akan diajarkan. Dalam konteks pengajaran membaca, ada tiga kaedah popular yang boleh digunakan iaitu kaedah fonetik, kaedah abjad dan kaedah pandang sebut.   

  • KAEDAH FONETIK
Kaedah fonetik merupakan kaedah asas membaca yang menekankan hubungan antara huruf (simbol) dengan bunyi. Kaedah ini amat sesuai untuk mengajar membaca kepada kanak-kanak yang baru mengenal huruf. Penggunaan kaedah lain bukan sahaja tidak sesuai untuk kanak-kanak peringkat ini, malah menyusahkan kerana lambat untuk menguasainya, mengelirukan dan membebankan memori mereka.

  • Konsep Kaedah Fonetik
Membaca mengikut kaedah fonetik memerlukan seseorang murid itu bersedia lebih awal seperti mengetahui bunyi-bunyi huruf, boleh menyebutnya dengan baik serta dapat mengingatinya dalam tempoh yang lama. Seterusnya mereka perlu kenal huruf berkenaan dari segi bentuk, rupa dan cara menulis huruf tersebut di samping dapat mengaitkan huruf yang dilihat dengan bunyi yang dilafazkan. Penggunaan teknik yang betul membolehkan kanak-kanak mengenal bunyi dan mengaitkannya dengan bentuk huruf yang ditunjukkan kepada mereka dengan cepat dan pantas. Mereka juga dapat menyebut bunyi ‘aa’ apabila melihat huruf ‘a’ dan bunyi ‘ii’ apabila melihat huruf ‘e’.

        Satu lagi teknik mengajar bunyi yang boleh diperkenalkan guru adalah menggunakan asosiasi, iaitu asosiasi bunyi dan asosiasi gambar. Contoh asosiasi bunyi, untuk membunyikan ‘aa’, guru bolehlah mengaitkannya dengan beberapa peristiwa yang berlaku di persekitaran murid-murid seperti terkena makanan panas, iaitu melalui jeritan ‘aaaaaa panasnya’. Manakala asosiasi gambar pula, guru bolehlah menggunakan kad imbasan seperti gambar ayam untuk bunyi ‘aa’, gambar emak untuk bunyi ‘ee’ dan sebagainya. Melalui teknik asosiasi ini murid-murid dapat mengingat dan menyebut bunyi dengan lebih berkesan, cepat dan berkekalan.

       Guru juga tidak perlu memperkenalkan semua bunyi sekali gus tetapi memadai dengan beberapa bunyi asas dahulu. Oleh sebab laras bahasa Melayu terbina daripada gabungan huruf konsonan dengan huruf vokal, maka wajarlah bunyi-bunyi ‘a’, ‘i’, ‘u’ diperkenalkan terlebih dahulu. Justeru, guru perlu perkenalkan bunyi-bunyi yang senang disebut oleh murid-murid terlebih dahulu berbanding bunyi sukar. 


  • KAEDAH ABJAD
      Kaedah abjad merupakan kaedah asas membaca yang paling tua digunakan oleh manusia untuk mengajar membaca dalam kalangan kanak-kanak. Pengajaran bacaan dimulai dengan pengenalan huruf atau abjad yang diikuti dengan membunyikan huruf-huruf tersebut. Daripada cantuman huruf-huruf, murid-murid akan diperkenalkan pula dengan bunyi-bunyi atau suku kata yang digabungkan menjadi perkataan.Konsep Kaedah Abjad.

     Konsep ini dijalankan dengan memperkenalkan kepada murid-murid 26 huruf, iaitu huruf a hingga z. kemudian diikuti dengan aktiviti memperkenalkan huruf-huruf vocal dan konsonan. Dalam sistem bahasa Melayu huruf-huruf vokal mengeluarkan bunyi setelah bergabung dengan huruf konsonan. Contohnya, ‘ba’, ‘be’, ‘bi’, ‘bo’ dan ‘bu’. Manakala gabungan ‘ai’, ‘au’, dan ‘oi’ pula akan membentuk diftong.
      Semua bunyi tersebut disambung supaya menjadi suku kata, misalnya ba + tu = batu. Kemudian mengenal rangkai kata, ayat dan seterusnya diajar membaca. Kemudian diikuti dengan aktiviti mengeja suku kata dalam perkataan. Seterusnya guru mengaitkan gambar dengan sesuatu huruf, ‘a’ untuk ‘ayam’, ‘b’ untuk ‘baju’, dan seterusnya. Guru juga boleh menyanyi lagu ABC.
     Kajian mendapati, kegagalan seseorang murid untuk mengenal huruf a hingga z mengikut susunan dalam abjad, akan melahirkan generasi murid yang tidak boleh membaca. Justeru, kaedah abjad menekankan murid untuk menghafal a hingga z sebelum mereka boleh diajar kemahiran membaca. 




  • KAEDAH PANDANG DAN SEBUT
     Kaedah ini amat popular dalam pengajaran bacaan Bahasa Inggeris dan telah diperkenalkan sekitar tahun 1648. Kaedah ini melibatkan dua aktiviti, iaitu membunyikan perkataan atau suku kata berdasarkan gambar dan membunyikan ayat berdasarkan gambar yang ada cerita. Tujuannya adalah membiasakan murid untuk mengecam perkataan atau ayat dan tidak mengeja perkataan atau ayat tersebut. Justeru, kaedah ini lebih praktikal kerana tumpuannya adalah kepada perkataan dan ayat yang bermakna.
  • Konsep Kaedah Pandang dan Sebut.
     Menurut kaedah ini, guru-guru perlu menunjukkan gambar terlebih dahulu kemudian murid-murid akan menyebut perkataan dan ayat-ayat pendek yang ditulis pada kad-kad imbasan secara beramai-ramai dengan bimbingan guru. Langkah ini diikuti dengan membaca bahan yang sama daripada buku teks.
      Murid hanya perlu mengecam gambar dan menyebut perkataan berdasarkan gambar berkenaan. Setelah murid-murid menguasai perkataan, barulah diperkenalkan kumpulan huruf yang membentuk perkataan berkenaan. Semasa kad tersebut ditunjukkan kepada murid-murid, mereka akan menyebut perkataan tersebut beberapa kali. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan